Buang bayi di dalam pam tandas : Pelajar tingkatan empat dan teman lelaki ditahan | Polis menahan seorang pelajar tingkatan empat bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam tangki air pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth, dekat sini semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah (gambar) berkata, pelajar berusia 16 tahun itu ditahan di rumahnya beberapa jam selepas penemuan mayat bayi tersebut yang dipercayai dibuang lebih 24 jam, sebelum dijumpai oleh seorang wanita. Katanya, hasil soal siasat, pelajar terbabit mengaku pergi ke klinik berkenaan bersama bapanya kelmarin untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut.
"Ketika sedang diperiksa doktor, dia meminta izin untuk ke tandas dan melahirkan bayi berkenaan sejurus selepas itu. Dia bagaimanapun panik apabila bayi itu menangis lalu memasukkannya ke dalam tangki dan pulang ke rumah semula bersama bapanya," katanya di sini hari ini. Dalam kejadian semalam, seorang wanita menemukan mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dalam tangki air pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth di sini pukul 9.10 pagi, ketika menggunakannya.
Mazlan seterusnya berkata, setibanya di rumah, pelajar terbabit terus tidur dan tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa, termasuk ahli keluarganya yang tidak tahu-menahu remaja berkenaan mengandung. Katanya, pelajar berkenaan ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya. Beliau menambah, remaja itu turut mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya. Dalam pada itu, menurut beliau, teman lelaki remaja perempuan berkenaan yang berumur 18 tahun ditahan polis pada pukul 4 petang ini dan akan direman selama empat hari bagi membantu siasatan. -Utusan
.